Tuesday 31 January 2012

KERAJAAN MELAYU MELAKA DITUBUHKAN PADA TAHUN 1262??? APA KAITANNYA DENGAN TAMADUN LUAR?























Di Petik dari BERNAMA pada tarikh - 8 Oktober 2011


Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Abdul Rahman Ismail berkata hasil kajiannya sejak 1990-an terhadap naskah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Raja Bongsu, menunjukkan bukti yang benar mengenai permulaan kerajaan Melaka.


"Terdapat banyak versi naskah Sulalatus Salatin, tetapi Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu merupakan sumber pribumi yang paling hampir dan paling sahih dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah bertajuk "Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka" anjuran Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah.


Raja Bongsu dikatakan sebagai salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskah berkenaan. Selama ini diketahui umum bahawa Kerajaan Melayu Melaka diasaskan sekitar 1400. Terdapat juga hasil kajian yang mendapati kerajaan tesebut diwujudkan pada 1278.


Menurut Abdul Rahman, Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu itu mencatat tempoh pemerintahan setiap Raja Singapura dan Melaka dengan jelas dan lengkap yang dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Melayu Melaka sudah bermula sejak tahun 1262. Beliau juga berkata sebelum zaman Kerajaan Melayu Melaka, tiada rekod sahih yang menunjukkan terdapat kerajaan lain sebelum kerajaan itu.


"Dalam sejarah, proses kaji semula sentiasa berlaku dan ia untuk mendapat kepastian yang sebenarnya tentang sesuatu perkara. Pelajar sekolah perlu tahu mengenai penemuan tarikh baru ini sebagai menambah ilmu sejarah," katanya.



Sokongan Bukti Kajian


Jika benar apa yang dikatakan oleh Prof. Abadul Rahman, maka ini merupakan satu penemuan baru seterusnya memadamkan sejarah penubuhan asal iaitu pada tahun 1400 dan sebelum itu telah ditemui pada tahun 1278. Namun, begitu, sejauh mana kebenaran kajian ini masih lagi belum dianggap muktamad. Sebaliknya kajian harus di terusnya untuk mencari jawapan yang muktamad. Dalam pada itu, kenyataan Prof Abdul Rahman ini dapat dibuktikan oleh penemuan hasil kajian yang dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusof dengan Prof Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya sebagai ketua penyelidikan. Mereka yang bersama beberapa orang pelajar tempatan juga telah menggunakan sumber yang sama seperti yang di gunakan oleh Prof Abdul Rahman.


Dalam pada itu, kenyataan dua golongan intelek ini semakin terbukti apabila Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Melaka (IKSEP), Datuk Mohd. Said Yusof berkata (dalam Utusan Malaysia 3 Nov 2011), asas yang diambil untuk menukar tarikh sebenar penubuhan Melaka berdasarkan dua karya agung iaitu Sulalat Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Menurutnya, beberapa peristiwa yang terkandung dalam kedua-dua buku tersebut membuktikan bahawa penubuhan Melaka bukan pada 1400 seperti dikatakan oleh sarjana Barat iaitu dari Portugis yang juga bukan berdasarkan kepada fakta sejarah. Katanya, beberapa contoh seperti Sultan Mansur Shah menduduki takhta hampir 60 tahun dan sultan terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah pula selama 30 tahun.


Kalau berdasarkan dua sultan ini, kerajaan Melaka terbentuk lebih daripada 90 tahun. Mustahil kerajaan Melayu Melaka ditubuhkan hanya berumur 111 tahun. Kalau mengikut catatan sejarah, Melaka yang dibentuk oleh Parameswara pada 1400 dan Laksamana Cheng Ho datang ke negeri ini pada 1403. Tidak mungkin dalam tempoh tiga tahun kerajaan Melayu Melaka sudah menjadi satu kerajaan yang besar ketika itu hingga dihormati oleh China dan ini membuktikan tarikh 1400 tidak relevan sebagai tarikh penubuhan Melaka.


Kaitan Sejarah Melayu Melaka Dengan Sejarah China Dan Jepun.

Mengapa saya perlu kaitkan Sejarah Melayu Melaka (SMM) dengan Sejarah Tamadun China pada masa tersebut?. Baiklah, jika benar tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka, di China pada ketika itu di perintah oleh Dinasti/Wangsa Yuan. Dinasti Yuan merupakan dinasti yang diperintah oleh orang Mongol. Siapa tidak dengan orang Mongol? Orang Mongol merupakan puak yang sangat kuat, garang, ganas dan telah berjaya menakluk tengah Asia ke China, Utara India, Timur Asia Barat, Eropah Barat termasuk Baghdad, Damsyik, Constantinople (Turki) dan Empayar Rom. Tentera Mongol juga telah berjaya menakluk 1/3 dunia dan merupakan bangsa yang mempunyai empayar terbesar ketika itu.


Genghis Khan (lahir pada tahun 1147) (nama beliau bermaksud "pemimpin alam semesta") telah menyatukan seluruh bangsa Mongol yang berpuak-puak serta memulakan ekspedisi penaklukan dunia dan telah berjaya melahirkan generasi pemimpin Mongol yang seterusnya iaitu Hulagu Khan (menawan Baghdad, Aleppo dan Damsyik) dan Kublai Khan. Baiklah, fokus penulisan entri ini adalah pemerintahan Mongol di China.


Rajah Sebelah: Empayar Mongol abad ke-13 dan 14.


Setelah melalui peperangan dan penaklukan yang di pimpin oleh Kublai Khan, orang-orang Mongol telah berjaya merampas China dari tangan Dinasti Song pada tahun 1279 hingga 1368. Mereka telah meneruskan tradisi dan adat cina kuno serta mengambil contoh pentadbiran Dinasti Tang dan Sung dan beliau seorang pengamal ajaran Kung Futze (Confucius). Maka bermulalah pemerintahan orang bukan cina (Mongol) yang memakai nama Dinasti Yuan untuk memerintah masyarakat bukan cina. Namun, pada hakikatnya, orang Mongol telah di cinakan dan menjadi "orang cina".


Menarik, kemunculan Dinasti Yuan di China adalah hampir sama dengan kemunculan Kerajaan Melayu Melaka (KMM). Walaupun berbeza tarikh iaitu tahun 1262 (Melaka) dan 1279 (Yuan). Mungkin ini juga salah satu bukti bahawa KMM ditubuhkan pada tarikh ini atau sekitarnya kerana "sejarah sentiasa berkait" dan mungkin angin perubahan politik dan pembinaan tamadun hampir sama pada satu ketika. Bagi KMM, ini merupakan pembentukan tamadun Melayu yang baru, tetapi bagi China, ini satu pencerobohan dan pemerintahan kerajaan China yang diperintah oleh "orang bukan cina".



Rajah atas: Pengasas Dinasti Yuan, Kublai Khan


Dalam pada itu, menurut Prof. Abdul Rahman dalam kuliahnya, beliau banyak menyentuh soal KMM yang ada kaitan dengan kerajaan China dan Jepun. Selepas kejatuhan Dinasti Yuan, Muncullah Dinasti Ming yang diperintah orang cina pada tahun 1368-1644. Dinasti Ming mempunyai kaitan dengan KMM pada ketika itu. Sebut sajah Laksamana Cheng Ho, iaitu laksamana China pada ketika itu telah datang ke Melaka untuk menjalankan persahabatan dengan KMM dan Melaka menerima perlindungan dan hubungan ekonomi dan politik dari China. Seperti yang telah diungkapkan di atas, jika KMM telah ditubuhkan pada tahun 1400, bagaimana pula kerajaan besar China boleh melakukan hubungan diplomatik dengan KMM sedangkan KMM baru muncul pada ketika itu? Inilah hakikat bahawa KMM telah wujud lebih awal dan semestinya telah diketahui sebagai empayar terkuat di rantau Nusantara pada ketika itu dan telah menarik perhatian kerajaan Besar China untuk menaungi KMM.


Tambahan pula, menurut Prof Rahman, dalam Hikayat Hang Tuah ada menyebut Pahlawan Jepun bertarung dengan Hang Tuah di perairan laut di Kepulauan Ryukyu. Sebenarnya kepulauan Ryukyu bukannya kepulauan negara Jepun (Pulau Hokkaido, Pulau Honshu) yang ada sekarang, tetapi gugusan pulau yang kecil dan banyak di Timur Laut China (tetapi milik kedaulatan Jepun). Pahlawan Jepun yang disebutkan adalah semasa pemerintahan Kesyogunan Ashikaga (1336-1573). Amat menarik, pada ketika itu, kerajaan Jepun, China dan Melaka telah berinteraksi pada ketika itu sama juga seperti keadaan sekarang.


Kesimpulannya, berdasarkan bahan yang telah saya kumpulkan, jelaslah bahawa KMM telah pun wujud sebelum tahun 1400 dan benarlah telah wujud pada tahun 1262. Namun, fakta ini tidak boleh di anggap muktamad dan objektif, kerana kajian-kajian masih lagi dijalankan dan penemuan diperlukan untuk mengukuhkan fakta tersebut. Isu yang saya telah kupas bukanlah berdasarkan idea saya sendiri, namun melalui pembacaan, sumber-sumber yang boleh dipercayai dan juga dari buah mulut Prof. Abdul Rahman sendiri. Jika ada salah, tolong betulkan, kerana apa yang baik datangnya dari Allah s.w.t. dan yang buruk datangnya dari kelemahan saya sendiri. Sekian dan semoga memberi manfaat kepada semua pembaca.



Sumber: Kuliah Prof. Abdul Rahman.


Suffian Mansor, 2003. Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Utusan Malaysia, 3 November 2011 dan Bernama, 3 Oktober 2011.

1 comment:

  1. Laksamana Cheng Ho (1371-1433) (juga di sebut Zheng He dan Sam Po Kong) telah mengadakan pelayaran (1405-33) sebanyak 7 kali dengan 27,000 org anak kapal. Beliau telah pergi ke 30 buah negara termasuk Asia Tenggara, Hindia, Laut Merah dan Afrika Timur. Beliau telah mendahului ahli pelayaran Eropah lain seperti Christopher Columbus (1451-1506)Benua Amerika, Vasco da Gama (1460-1524) Calicut India, dan Ferdinand Magellan (1480-1521)yang kononnya mengelilingi bumi pada 1519. NAMUN, PELAYARAN IBNU BATUTTA (1304-1368) LEBIH AWAL DARIPADA ITU iaitu pada tahun 1330-an ke India. Beliau telah berjaya menghabiskn 75,000 batu atau 121,000 km dlm keseluruhan pelayaran beliau.

    ReplyDelete