Tuesday 31 January 2012

KERAJAAN MELAYU MELAKA DITUBUHKAN PADA TAHUN 1262??? APA KAITANNYA DENGAN TAMADUN LUAR?























Di Petik dari BERNAMA pada tarikh - 8 Oktober 2011


Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Abdul Rahman Ismail berkata hasil kajiannya sejak 1990-an terhadap naskah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Raja Bongsu, menunjukkan bukti yang benar mengenai permulaan kerajaan Melaka.


"Terdapat banyak versi naskah Sulalatus Salatin, tetapi Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu merupakan sumber pribumi yang paling hampir dan paling sahih dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah bertajuk "Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka" anjuran Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah.


Raja Bongsu dikatakan sebagai salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskah berkenaan. Selama ini diketahui umum bahawa Kerajaan Melayu Melaka diasaskan sekitar 1400. Terdapat juga hasil kajian yang mendapati kerajaan tesebut diwujudkan pada 1278.


Menurut Abdul Rahman, Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu itu mencatat tempoh pemerintahan setiap Raja Singapura dan Melaka dengan jelas dan lengkap yang dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Melayu Melaka sudah bermula sejak tahun 1262. Beliau juga berkata sebelum zaman Kerajaan Melayu Melaka, tiada rekod sahih yang menunjukkan terdapat kerajaan lain sebelum kerajaan itu.


"Dalam sejarah, proses kaji semula sentiasa berlaku dan ia untuk mendapat kepastian yang sebenarnya tentang sesuatu perkara. Pelajar sekolah perlu tahu mengenai penemuan tarikh baru ini sebagai menambah ilmu sejarah," katanya.



Sokongan Bukti Kajian


Jika benar apa yang dikatakan oleh Prof. Abadul Rahman, maka ini merupakan satu penemuan baru seterusnya memadamkan sejarah penubuhan asal iaitu pada tahun 1400 dan sebelum itu telah ditemui pada tahun 1278. Namun, begitu, sejauh mana kebenaran kajian ini masih lagi belum dianggap muktamad. Sebaliknya kajian harus di terusnya untuk mencari jawapan yang muktamad. Dalam pada itu, kenyataan Prof Abdul Rahman ini dapat dibuktikan oleh penemuan hasil kajian yang dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusof dengan Prof Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya sebagai ketua penyelidikan. Mereka yang bersama beberapa orang pelajar tempatan juga telah menggunakan sumber yang sama seperti yang di gunakan oleh Prof Abdul Rahman.


Dalam pada itu, kenyataan dua golongan intelek ini semakin terbukti apabila Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Melaka (IKSEP), Datuk Mohd. Said Yusof berkata (dalam Utusan Malaysia 3 Nov 2011), asas yang diambil untuk menukar tarikh sebenar penubuhan Melaka berdasarkan dua karya agung iaitu Sulalat Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Menurutnya, beberapa peristiwa yang terkandung dalam kedua-dua buku tersebut membuktikan bahawa penubuhan Melaka bukan pada 1400 seperti dikatakan oleh sarjana Barat iaitu dari Portugis yang juga bukan berdasarkan kepada fakta sejarah. Katanya, beberapa contoh seperti Sultan Mansur Shah menduduki takhta hampir 60 tahun dan sultan terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah pula selama 30 tahun.


Kalau berdasarkan dua sultan ini, kerajaan Melaka terbentuk lebih daripada 90 tahun. Mustahil kerajaan Melayu Melaka ditubuhkan hanya berumur 111 tahun. Kalau mengikut catatan sejarah, Melaka yang dibentuk oleh Parameswara pada 1400 dan Laksamana Cheng Ho datang ke negeri ini pada 1403. Tidak mungkin dalam tempoh tiga tahun kerajaan Melayu Melaka sudah menjadi satu kerajaan yang besar ketika itu hingga dihormati oleh China dan ini membuktikan tarikh 1400 tidak relevan sebagai tarikh penubuhan Melaka.


Kaitan Sejarah Melayu Melaka Dengan Sejarah China Dan Jepun.

Mengapa saya perlu kaitkan Sejarah Melayu Melaka (SMM) dengan Sejarah Tamadun China pada masa tersebut?. Baiklah, jika benar tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka, di China pada ketika itu di perintah oleh Dinasti/Wangsa Yuan. Dinasti Yuan merupakan dinasti yang diperintah oleh orang Mongol. Siapa tidak dengan orang Mongol? Orang Mongol merupakan puak yang sangat kuat, garang, ganas dan telah berjaya menakluk tengah Asia ke China, Utara India, Timur Asia Barat, Eropah Barat termasuk Baghdad, Damsyik, Constantinople (Turki) dan Empayar Rom. Tentera Mongol juga telah berjaya menakluk 1/3 dunia dan merupakan bangsa yang mempunyai empayar terbesar ketika itu.


Genghis Khan (lahir pada tahun 1147) (nama beliau bermaksud "pemimpin alam semesta") telah menyatukan seluruh bangsa Mongol yang berpuak-puak serta memulakan ekspedisi penaklukan dunia dan telah berjaya melahirkan generasi pemimpin Mongol yang seterusnya iaitu Hulagu Khan (menawan Baghdad, Aleppo dan Damsyik) dan Kublai Khan. Baiklah, fokus penulisan entri ini adalah pemerintahan Mongol di China.


Rajah Sebelah: Empayar Mongol abad ke-13 dan 14.


Setelah melalui peperangan dan penaklukan yang di pimpin oleh Kublai Khan, orang-orang Mongol telah berjaya merampas China dari tangan Dinasti Song pada tahun 1279 hingga 1368. Mereka telah meneruskan tradisi dan adat cina kuno serta mengambil contoh pentadbiran Dinasti Tang dan Sung dan beliau seorang pengamal ajaran Kung Futze (Confucius). Maka bermulalah pemerintahan orang bukan cina (Mongol) yang memakai nama Dinasti Yuan untuk memerintah masyarakat bukan cina. Namun, pada hakikatnya, orang Mongol telah di cinakan dan menjadi "orang cina".


Menarik, kemunculan Dinasti Yuan di China adalah hampir sama dengan kemunculan Kerajaan Melayu Melaka (KMM). Walaupun berbeza tarikh iaitu tahun 1262 (Melaka) dan 1279 (Yuan). Mungkin ini juga salah satu bukti bahawa KMM ditubuhkan pada tarikh ini atau sekitarnya kerana "sejarah sentiasa berkait" dan mungkin angin perubahan politik dan pembinaan tamadun hampir sama pada satu ketika. Bagi KMM, ini merupakan pembentukan tamadun Melayu yang baru, tetapi bagi China, ini satu pencerobohan dan pemerintahan kerajaan China yang diperintah oleh "orang bukan cina".



Rajah atas: Pengasas Dinasti Yuan, Kublai Khan


Dalam pada itu, menurut Prof. Abdul Rahman dalam kuliahnya, beliau banyak menyentuh soal KMM yang ada kaitan dengan kerajaan China dan Jepun. Selepas kejatuhan Dinasti Yuan, Muncullah Dinasti Ming yang diperintah orang cina pada tahun 1368-1644. Dinasti Ming mempunyai kaitan dengan KMM pada ketika itu. Sebut sajah Laksamana Cheng Ho, iaitu laksamana China pada ketika itu telah datang ke Melaka untuk menjalankan persahabatan dengan KMM dan Melaka menerima perlindungan dan hubungan ekonomi dan politik dari China. Seperti yang telah diungkapkan di atas, jika KMM telah ditubuhkan pada tahun 1400, bagaimana pula kerajaan besar China boleh melakukan hubungan diplomatik dengan KMM sedangkan KMM baru muncul pada ketika itu? Inilah hakikat bahawa KMM telah wujud lebih awal dan semestinya telah diketahui sebagai empayar terkuat di rantau Nusantara pada ketika itu dan telah menarik perhatian kerajaan Besar China untuk menaungi KMM.


Tambahan pula, menurut Prof Rahman, dalam Hikayat Hang Tuah ada menyebut Pahlawan Jepun bertarung dengan Hang Tuah di perairan laut di Kepulauan Ryukyu. Sebenarnya kepulauan Ryukyu bukannya kepulauan negara Jepun (Pulau Hokkaido, Pulau Honshu) yang ada sekarang, tetapi gugusan pulau yang kecil dan banyak di Timur Laut China (tetapi milik kedaulatan Jepun). Pahlawan Jepun yang disebutkan adalah semasa pemerintahan Kesyogunan Ashikaga (1336-1573). Amat menarik, pada ketika itu, kerajaan Jepun, China dan Melaka telah berinteraksi pada ketika itu sama juga seperti keadaan sekarang.


Kesimpulannya, berdasarkan bahan yang telah saya kumpulkan, jelaslah bahawa KMM telah pun wujud sebelum tahun 1400 dan benarlah telah wujud pada tahun 1262. Namun, fakta ini tidak boleh di anggap muktamad dan objektif, kerana kajian-kajian masih lagi dijalankan dan penemuan diperlukan untuk mengukuhkan fakta tersebut. Isu yang saya telah kupas bukanlah berdasarkan idea saya sendiri, namun melalui pembacaan, sumber-sumber yang boleh dipercayai dan juga dari buah mulut Prof. Abdul Rahman sendiri. Jika ada salah, tolong betulkan, kerana apa yang baik datangnya dari Allah s.w.t. dan yang buruk datangnya dari kelemahan saya sendiri. Sekian dan semoga memberi manfaat kepada semua pembaca.



Sumber: Kuliah Prof. Abdul Rahman.


Suffian Mansor, 2003. Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Utusan Malaysia, 3 November 2011 dan Bernama, 3 Oktober 2011.

Sunday 29 January 2012

Perang Korea 2010

Ego politik dan militari


Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA









YEONPYEONG, merupakan antara gugusan pulau-pulau kecil yang berada di wilayah Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning.


Ia dihuni sekitar 1,600 penduduk yang rata-ratanya menjalankan aktiviti menangkap ikan dan bertani. Di samping itu, ia turut menjadi pangkalan tentera yang menempatkan 1,000 tentera Korea Selatan.


Dari sudut geografi, pulau itu hanya seluas lapan kilometer persegi. Ia terletak kira-kira 80 kilometer dari barat Incheon, Korea Selatan dan 12 kilometer dari selatan pantai wilayah Hwanghae, Korea Utara.


Namun, apa yang membuatkan Yeonpyeong begitu istimewa adalah kedudukannya yang terletak hanya dua kilometer dari Nothern Line Limit (Sempadan Had Utara), sebuah zon bebas ketenteraan yang memisahkan perairan di antara kedua-dua negara.


Pemisahan garisan sempadan merupakan antara syarat gencatan senjata yang dimeterai bagi menamatkan konflik hampir empat tahun di Semenanjung Korea pada tahun 1950 hingga 1953.


Biarpun sudah hampir enam dekad, Seoul dan Pyongyang masih belum mencapai persetujuan mengenai sempadan perairan bersama. Bagaimanapun, akibat dendam dan prasangka yang terus membara menyebabkan Korea Utara dilihat lebih agresif mewujudkan provokasi.


Konflik berterusan


Tentera laut kedua-dua negara pernah bertempur di perairan sama pada 1999 dan 2002.


Pada Mac lalu, ketegangan sekali lagi memuncak di rantau berkenaan selepas pasukan penyiasat antarabangsa diketuai tentera Korea Selatan menuduh tentera rejim komunis itu melepaskan torpedo ke arah kapal perang Korea Selatan, Cheonan sehingga karam.



SEKEPING foto tidak bertarikh yang dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea menunjukkan dua buah roket dilepaskan oleh Unit 1489 semasa sesi latihan dan ujian pada tahun lalu.








Tragedi yang berlaku berhampiran sempadan Laut Kuning itu mengorbankan 46 anak kapal. Bagaimanapun, Pyongyang menafikan dakwaan itu, lebih-lebih lagi tiada bukti kukuh mengaitkan kehadiran kapal selamnya.


Bagaimanapun, serangan terbaru pada 23 November lalu membuktikan rejim itu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk melancarkan perang ke atas Korea Selatan.


Ratusan bedilan meriam dan roket disasarkan ke Yeonpyeong, mengakibatkan empat mangsa termasuk dua anggota marin dan dua orang awam terbunuh selain mencederakan puluhan yang lain.


Ia turut memusnahkan puluhan bangunan, rumah, kemudahan tentera dan memaksa lebih 700 penduduk yang trauma dipindahkan.


Sumber Korea Utara mendakwa, serangan itu dilancarkan selepas Korea Selatan tidak menghiraukan amaran supaya ia menghentikan latihan ketenteraan di lokasi berkenaan.


Seorang penduduk, Kwan Young-hee's memberitahu semasa serangan itu dia sempat mencapai telefon bimbit dan berlari menyelamatkan diri.


“Letupan bom begitu membingitkan. Rumah saya bergegar manakala semua tingkap pecah,” katanya yang bersembunyi di sebuah kubu bawah tanah.


Keesokannya, dia bersama ratusan penduduk yang lain dihantar ke kawasan penempatan sementara di Incheon dengan menaiki kapal peronda pantai.


“Perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini, ia merupakan tempat yang tenang dan mendamaikan,” tambah wanita berusia 47 tahun itu. “Saya tidak akan kembali semula ke sana.”


Serangan yang dilakukan dilihat sebagai tindakan paling agresif ke atas orang awam selepas pengeboman pesawat Korean Air pada tahun 1987, dipercayai didalangi oleh rejim itu.


Ia juga mencatatkan sejarah sebagai bedilan terbuka pertama ke atas Korea Selatan selepas berakhirnya Perang Korea pada 1953.


“Kami tidak menyangka mereka akan menyerang orang awam,” cerita Hong Kwang-sun ketika dia dan pelarian lain sedang menikmati minuman di pelabuhan berhampiran Incheon.


“Tentera mereka tidak kebuluran kerana mendapat bantuan rakyat di negara ini, sekarang mereka membalasnya dengan menembak ke arah kami. Pada masa akan datang, kami sepatutnya menembak mereka.”


Tentera Korea Selatan membalas serangan itu dengan 80 bedilan meriam. Bagaimanapun tindakan itu dikritik media tempatan dan pemimpin politik kerana dilihat tidak cukup agresif.


Perutusan khas dari Jepun dijangka tiba ke China untuk memberi petanda ke arah usaha diplomasi yang dirangka.









KAWALAN di sempadan juga diperketatkan selepas Korea Utara secara terbuka melancarkan roket baru-baru ini ke atas kepentingan awam.







Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan, sama ada kunjungan Pengerusi Perhimpunan Agung Rakyat Korea Utara, Choe Thae Bok ke Beijing pada minggu ini dapat mencari penyelesaian yang diharapkan.


Reaktor nuklear Korea Utara


Apatah lagi, Korea Utara sudah semakin berani menunjukkan kepada dunia tentang program nuklearnya.


Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pyongyang mendakwa mempunyai reaktor pengayaan uranium moden.


Beberapa hari sebelum serangan di Yeonpyeong, rejim itu mendedahkan program nuklearnya, apabila membenarkan lawatan saintis nuklear AS, Siegfried Hecker ke Yongbyon.


Tujuannya untuk menghebahkan kepada dunia bahawa teknologi itu digunakan untuk menjana tenaga elektrik dalam negara dan bukan semata-mata untuk tujuan ketenteraan.


Bagaimanapun, kewujudan reaktor itu memberikan Pyongyang asas kukuh untuk menjalankan program pengayaan uranium sebagai tambahan kepada program berasaskan plutonium. Apa yang pasti, kedua-dua bahan radio aktif itu merupakan bahan utama dalam pembuatan bom atom.


Korea Utara mendesak untuk menyambung semula rundingan antarabangsa yang membolehkannya menerima lebih banyak bantuan sebagai balasan terhadap komitmen mendedahkan program nuklearnya.


Serangan terhadap Korea Selatan baru-baru ini dikatakan sebagai petunjuk kepada kekecewaannya terhadap proses rundingan yang terhenti.


Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak berikrar akan memastikan Korea Utara ‘menerima akibat’ daripada perbuatan mereka, malah menyifatkan serangan negara komunis itu ke atas kawasan awam baru-baru ini sebagai ‘jenayah kemanusiaan.’


“Jika (Korea) Utara melancarkan provokasi tambahan ke atas (Korea) Selatan, kami akan memastikan mereka menerima balasan setimpal,” kata Myung-bak.


Siapa lebih hebat?


Apa yang pasti, konflik yang berlaku di Semenanjung Korea tidak sekadar melibatkan kedua-dua blok Utara dan Selatan, sebaliknya turut dilihat sebagai medan persaingan peribadi AS dan China.


Selepas kejatuhan Soviet, AS sudah tidak menghadapi sebarang cabaran dari Eropah.


Kini, China dianggap sebagai pencabar utama dengan kemampuannya menghasilkan senjata nuklear dan pertumbuhan pesat ekonominya.


Beijing melihat Pyonyang sebagai aset dalam perimeter pertahanan masa depan ketika berdepan dengan perkembangan teknologi persenjataan AS dalam usaha meluaskan pengaruhnya di Asia Timur.


Sementara itu, AS pula mahu menyekat penguasaan China di samping memastikan kestabilan di rantau itu yang juga melibatkan keselamatan kuasa besar ekonomi dunia dan sekutunya, iaitu Korea Selatan dan Jepun.


Seorang penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, selain mendapat restu Beijing yang memainkan peranan di belakang tabir, tindakan berani Pyongyang juga dikaitkan dengan pertukaran tampuk pemerintahan di negara itu.


“Sebelum ini banyak pihak meragui kemampuan Kim Jong Un selepas dilantik bagi menggantikan bapanya Kim Jong Il.


“Serangan itu mungkin merupakan satu isyarat Jong Un kepada AS dan sekutu-sekutunya bahawa dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras, sama seperti bapanya,” ulas Muhammad Fuad.


Beliau menambah sebagai negara dengan kekuatan tentera keempat terbesar di dunia, Korea Utara memiliki lebih satu juta tentera yang bersiap sedia untuk bertempur di medan perang.


“Pyonyang juga mempunyai sistem persenjataan dan artileri yang ampuh diwarisi daripada teknologi China dan Soviet.


“Misalnya, teknologi peluru berpandu (permukaan ke permukaan) yang dimiliki seperti Taepodong-2 bukan sahaja mampu memusnahkan Seoul, malah boleh disasarkan sehingga ke perairan Jepun,” ujarnya.


Beliau menjelaskan, walaupun belum terbukti namun bukanlah sesuatu yang mengejutkan teknologi nuklear Pyongyang mampu meletakkan negara itu sebaris dengan kuasa-kuasa nuklear seperti China, Rusia, Perancis, AS, Pakistan dan India. Malah dengan teknologi yang masih dirahsiakan itu, Korea Utara berkemampuan untuk menangkis ancaman senjata pemusnah besar-besaran.



REAKTOR pengayaan uranium Korea Utara menimbulkan kebimbangan dunia tentang kemampuan kuasa persenjataan nuklear negara itu.








Katanya, bagaimanapun dunia tidak seharusnya memandang sebelah mata terhadap sistem persenjataan Korea Selatan yang tidak kurang hebatnya. Ini kerana ia menggunakan sepenuhnya teknologi daripada AS.


“Bahkan, Seoul juga merupakan pengeluar sistem pertahanan di Asia Pasifik selepas China. Ia menghasilkan pelbagai kelengkapan ketenteraan seperti kereta kebal, artileri, kapal perang, kapal selam, kapal logistik, raifal dan sebagainya.


“Boleh dikatakan sebahagian besar negara-negara di rantau ini memiliki teknologi ketenteraan dari Korea Selatan, termasuk Malaysia seperti kereta perisai K200 (MIFV) dan kapal logistik yang digunakan di dalam Angkatan Tentera Malaysia,” ujarnya.


Di samping itu, Seoul juga sering menjalankan latihan ketenteraan bersama dengan AS setiap tahun bertujuan untuk mempersiapkan angkatan tentera di samping menerbitkan kegerunan terhadap Pyongyang.


“Pada masa yang sama AS juga menempatkan kira-kira 28,000 tenteranya di negara itu yang sedia digerakkan bagi berhadapan dengan sebarang ancaman.


“AS turut menempatkan sejumlah peluru berpandu di negara itu bagi menghalang serangan roket dari udara,” katanya.



Sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm (3 Disember 2010)

Di Sebalik Peristiwa Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada entri kali ini penulis akan mengupas beberapa peristiwa yang berlaku dalam Tamadun China dan Jepun yang mempunyai waktu atau tarikh yang hampir sama dengan peristiwa Hijrah. Sebelum itu, penulis akan menerangkan mengenai peristiwa yang berlaku dalam Tamadun China dan Jepun.
Tamadun China
Tamadun China merupakan tamadun yang tidak asing lagi dalam sejarah peradaban dunia iaitu suatu bangsa yang masyur dan mempunyai pegangan budaya yang amat tinggi sehingga sekarang. Negara China juga merupakan sebuah Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1,300 juta orang, iaitu kira-kira satu perlima manusia di bumi. China diperintah oleh Parti Komunis China di bawah sistem satu parti. China merupakan negara ketiga atau keempat terluas di dunia dari segi keluasan keseluruhan, dan negara kedua terbesar dari segi keluasan daratan.



Pada entri kali ini, saya memilih tarikh pada awal abad ke-7. Tarikh keramat ini merupakan tarikh yang penting bagi sejarah tradisional China iaitu semasa peralihan dinasti/wangsa baru yang juga diperintah oleh rakyat China sendiri iaitu Dinasti Tang. Dinasti Tang telah berkuasa selama lebih kurang 289 tahun iaitu bermula dari tahun 618 Masihi hingga 907 Masihi. Dinasti Tang diasakan oleh Maharaja Li Yuan (gambar sebelah) yang kemudian memakai gelaran Maharaja Kao Tsu (juga di sebut "Emperor Gaozu"). Keunikan dinasti Tang adalah mempunyai keluasan empayar hampir meliputi negara China pada hari ini. Dinasti Tang muncul setelah berlaku keadaan huru hara dan kekacuan politik serta peperangan yang sering berlaku sehingga negara China disatukan kembali di bawah pemerintahan dinasti Tang.
Selain itu, pada masa ini, berlakunya beberapa penciptaan yang unggul seperti penciptaan bahan letupan untuk peperangan seperti bom tangan dan busur panah. Selain itu, satu sistem banci penduduk juga diperkenalkan pada zaman ini iaitu banci keluarga dan penduduk untuk setiap daerah dan wilayah yang lebih kurang sama keadaannya pada hari ini. Melalui peperangan dan penaklukan, Tang telah menjalankan hubungan perdagangan dengan dunia luar di kawasan barat dan timur dan menjadi pusat kedatangan pedagangan dari dunia luar. Selain itu, wangsa Tang juga telah memperbaharui dan memperkukuhkan Sistem Peperiksaan Awam (SPA) yang telah diasaskan pada dinasti Han. SPA merupakan peperiksaan awam untuk memilih pegawai untuk bertugas di Istana dan wilayah. Penaklukan telah dilakukan oleh Tai Tsung pada tahun 639 sehingga tahun 648 dan seterusnya. Lantaran itu, Tang juga telah menerima pengaruh agama dari luar seperti agama Kristian, Nasrani, Islam dan Yahudi. Oleh hal yang demikian bolehlah dikatakan wangsa Tang dipanggil zaman keemasan tamadun China dan pemerintahan dinasti Tang sangat mempengaruhi pemerintahan negeri-negeri jirannya seperti Jepun, Korea dan Vietnam.


Tamadun Jepun


Lantaran kemasyuran dinasti Tang di China, keadaannya turut mempengaruhi tamadun Jepun masa tarikh tersebut. Dalam tarikh yang sama iaitu pada awal abad ke-7, satu kerajaan atau zaman pemerintahan yang unggul mula terbina dalam ketamadunan Jepun iaitu pada Zaman Asuka yang berlangsung selama 158 tahun bermula dari tahun 550 Masihi sehingga tahun 708 Masihi.


Jumlah penduduk di Jepun kini (sehingga 2011) dianggarkan sebanyak 129 juta dan seramai 127,214,499 orang telah dicatatkan pada Julai 2003 serta sebanyak 78.7% tinggal di kawasan bandar (Julai 2000). Tokyo merupakan bandar yang mempunyai penduduk paling ramai iaitu lebih kurang 14 juta orang. Semasa zaman pemerintahan Asuka, seperti ketamdunan China, zaman ini dianggap zaman unggul Jepun dimana permulaan kemasukan kebudayaan, idea, agama dan pemikiran daripada China di bawa masuk ke Jepun. Mereka bukan sahaja mencedok, tetapi juga meniru beberapa contoh undang-undang dan penulisan sejarah China. Namun, yang uniknya, tamadun ini walalupun mereka meniru, mereka tetap mengekalkan keaslian budaya Jepun dan bahan China di jadikan Jepun atau di panggil “proses Penjepunan”.




Pada tahun 604 Masihi, satu fasal telah di tubuhkan di Jepun iaitu Perlembagaan 17 Fasal. Antara kandungan fasal ini adalah menerangkan tentang ketaatan serta kepatuhan rakyat terhadap pemerintah serta menghormati serta mengamalkan ajaran Buddha. Rakyat harus memberi penghormati yang tidak berbelah bagi kepada pemerintah. Manakala pemerintah harus adil kepada rakyat serta menggunakan prinsip “pemimpin harus dicontohi rakyat”. Jepun meniru pengaruh China pada dinasti Tang bagi mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa pemerintah kerajaan Asuka. Antara tokoh yang terkenal adalah Putera Shotoku.(gambar sebelah) Putera Shotoku dan pengikut-pengikutnya telah memperkenalkan Pembaharuan Taika pada tahun 646 Masihi. Pembaharuan Taika merupakan satu undang-undang tanah yang dimilik oleh golongan bangsawan dan menghapuskan pemilikan tanah persendirian. Banci tanah juga diadakan sebagai kerja yang hampir sama dengan Jabatan Tanah Ukur di negara kita. Sistem percukaian mula diperkenalkan serta cara pengagihan tanah kepada rakyat serta pentadbiran peringkat kampung yang mantap.





Tamadun Islam


Penulis telah memberitahu secara ringkas mengenai tamadun China dan Jepun serta peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam tamadun tersebut. Sejarah membuktikan bahawa ia sentiasa mempunyai perkaitan walau di mana-mana sahaja. Seiring dengan tahun 600 Masihi dan keatas, zaman kemuncak tamadun Islam mula lahir apabila lahirnya seorang nabi terakhir dan penghulu segala rasul dan umat. Nabi Muhammad S.A.W. telah di lahirkan di Syuaib Bani Hashim di Makkah pada pagi hari Isnin bersamaan 12 Rabiulawwal pada Tahun Gajah. Ia juga bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi yang mengikut perkiraan Ulama Agong Muhammad S.A.W. Sulaiman al-Mansurpuri dan pentakhkik Falak Mahmud Basya (Mohd Darus Senawi Ali (penterjemah), 2011, Sirah Rasulullah s.a.w., ms. 56). Rasulullah S.A.W. telah wafat pada 8 Jun 632 Masihi di Madinah pada usia 63 tahun.

Apa yang penulis hendak sampaikan disini adalah tarikh kelahiran baginda S.A.W. adalah hampir sama dengan dua tamadun yang telah disebutkan. Pertama, tarikh kelahiran baginda S.A.W. adalah 20 tahun selepas kemunculan zaman agung kerajaan Asuka di Jepun (550 Masihi). Serentak dengan itu juga, dinasti/wangsa Sui telah diasaskan pada tahun 581 Masihi iaitu 10 tahun selepas ke lahiran baginda S.A.W. Wangsa Sui (581-618 Masihi) merupakan dinasti sebelum kemunculan dinasti agung Tang. Wangsa Sui juga memerintah setelah berlaku keadaan huru hara di China semasa pemerintahan “orang bukan cina” dan disatukan semula di bawah pemerintahan “orang cina” iaitu wangsa Sui dan diikuti wangsa Tang. Amat menarik, kerana sejarah yang disebut-sebut dan peristiwa yang penting yang berlaku di Makkah adalah hampir serupa keadaannya di China dan di Jepun.


Selain daripada itu, satu lagi perkara penting adalah semasa berlakunya peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W. dari kota Makkah ke kota Madinah bersama kaum ansar adalah mempunyai kaitan dengan peristiwa di China dan Jepun. Bukan kaitan hubungan yang saya maksudkan, namun, tahun dan tarikh peristiwa yang hampir sama. Peristiwa Hijrah berlaku pada malam Isnin, 1 Rabiulawwal, tahun pertama Hijrah bersamaan dengan 16 September 622 Masihi (Mohd Darus Senawi Ali (penterjemah), 2011, Sirah Rasulullah s.a.w., ms. 224) bersama kaum Muhajirin dan Ansar dari kota Makkah ke kota Madinah selepas timbulnya berita pembunuhan Rasulullah S.A.W. semakin memuncak. Perpindahan ini juga bagi mengembangkan syiar Islam ke tempat lain. Peristiwa ini menjadi satu tanda dan pengajaran kepada seluruh umat Islam sebagai langkah dakwah dan satu tanda perpindahan dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik. Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah . Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.


Apakah yang menariknya dengan tarikh atau peristiwa Hijrah ini? Sudah tentu ia mempunyai perkaitan dengan tarikh dalam tamadun China dan Jepun. Pertama, pada 618 Masihi, dinasti Tang telah mengambil alih pemerintahan China daripada dinasti Sui, iaitu 4 tahun kemudian peristiwa Hijrah berlangsung. Dinasti Tang pada masa itu merupakan kerajaan termaju didunia yang tidak dapat ditandingi meskipun pada ketika itu Empayar Rom Barat sedang mencapai kemajuan. Dalam tamadun Jepun pula, pada tahun 622 Masihi, merupakan tarikh kematian Putera Shotoku, pengasas perlembagaan 17 fasal dan ketamadunan Jepun iaitu pada 8 April 622 Masihi. Sementara tarikh 16 September pula tidak asing lagi bagi tarikh penggabungan Sabah dan Sarawak ke persekutuan Tanah Melayu, seterusnya melahirkan negara Malaysia pada 16 September 1963.





Oleh itu, jelaslah peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. iaitu perpindahan dari kota Makkah ke Madinah juga mengalami keadaan yang sama di mana, dinasti yang berpecah berpindah kepada Dinasti yang unggul (dinasti Sui dan Tang) di China dan permulaan kerajaan Asuka di Jepun. Semoga entri kali ini mendapat manfaat pembaca, segala yang buruk datangnya dari saya, dan yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. Sekian.



Sumber:


1. Abu Talib Ahmad (2005). Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Azhar Mad Aros (penterjemah),(2006). Jepun: Sejarah dan Budaya. Kuala Lumpur: Universiti Malaysia.

3. Mohd Darus Senawi Ali (penterjemah),(2011). Sirah Rasulullah (s.a.w.). Selangor: CRESCENT NEWS (K.L)Sdn. Bhd.

4. Suffian Mansor (2003). Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka





Saturday 28 January 2012

Sejarah Peradaban Dunia

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Kehidupan kita hari ini banyak dipengaruhi oleh masa-masa yang lepas. Apabila kita bercerita tentang masa lepas, kita akan terbayang kehidupan terdahulu begitu unik dan sukar kita gambarkan dan hanya penemuan-penemuan dan cerita terdahulu hanya mampu kita perolehi melalui beberapa sumber. Sejarah lepas yang kita ketahui sebenarnya belum boleh dikatakan muktamad atau benar, melainkan yang telah tercatat dalam Al-Qur'an dan Hadis yang sahih. Hal yang demikian kerana setiap hari hampir ada penemuan baru yang seterusnya memadam sumber yang mungkin tidak benar sebelum ini.

Penulisan sejarah atau "pensejarahan" sesuatu tamadun atau negara adalah kita perolehi daripada pelbagai versi samada ia benar atau tidak. Ia bergantung kepada kepentingan penulis sejarah tersebut. Sebagai contoh, penulisan sejarah Islam yang ditulis oleh sejarawan barat dan orientalis barat mungkin ada yang salah, kerana tujuan penulisan mungkin untuk kepentingan agama mereka di samping ingin menafikan keunggulan tamadun Islam terdahulu. Bagi sejarah tradisonal China atau sejarah wangsa China juga mungkin ditulis oleh golongan yang hendak menaikkan martabat sesuatu wangsa/dinasti pada zaman mereka. Begitu juga dengan sejarah Adolf Hitler (tentera nazi Jerman) yang mungkin di salah ertikan oleh penulis-penulis barat yang benci kepada Hitler disebabkan kekejamannya.

Satu perkara lagi mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sejarah bangsa-bangsa dan tamadun terdahulu adalah saling "berkait" dan mengalami perubahan yang hampir sama. Hal ini seterusnya boleh membuktikan kesahihan sejarah tersebut. Namun, seperti yang telah saya katakan tadi, sejarah masih memerlukan kajian, hanya bukti yang lebih kukuh akan hanya di terima sebagai sahih. Inilah yang dinamakan sejarah itu tidak bersifat "objektif". Namun, bagi penganut agama Islam, sejarah yang sahih adalah sumber dari Al Qur'an dan Hadis yang sahih.

Lantaran itu, bloger ingin mendekati penulisan sejarah ketamadunan beberapa negara yang di pilih dan sememangnya penulisan ini adalah berdasarkan sumber dan kajian oleh penulis-penulis yang boleh di percayai. Terpulang pada anda untuk menafsirkannya.

"Belajar tanpa berfikir, Sia-sia; Berfikir tanpa belajar, Bahaya" Kung Futze